KUALA LUMPUR – Malaysia menandakan lebaran baharu permulaan tahun 2025 dengan langkah penting ke arah platform digital yang lebih selamat apabila perlesenan untuk penyedia media sosial berkuat kuasa pada 1 Januari 2025.
Dilaksanakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), inisiatif pelesenan bertujuan untuk meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna, dan menambah baik pengawasan kawal selia media sosial dan platform pemesejan internet.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, beberapa impak positif dan kebaikan mampu dicapai melalui pelaksanaan perlesenan perkhidmatan media sosial mulai 2025.
“Keperluan pelesenan ini sama seperti seliaan untuk mereka yang pernah menjadi mangsa, sekali gus proses penguatkuasaan akan menjadi lebih mudah dan mampu memberi jaminan keselamatan pengguna siber,” katanya dalam satu kenyataan media baru-baru ini.
Siraj Jalil turut menyatakan sokongan penuh terhadap pelaksanaan lesen media sosial sebagai satu Langkah yang tepat dalam menangani isu-isu seperti penyebaran fitnah, maklumat tidak sahih dan jenayah siber.
Beliau berkata, melalui kawal selian kerajaan, pengguna-pengguna media sosial akan lebih berhati-hati dalam perkongsian maklumat di semua platform.
Tambahnya, ini secara tidak langsung akan membantu meningkatkan tahap akauntabiliti pengguna dan penyedia platform, di samping memberi punca kuasa kepada pihak berkuasa untuk bertindak terhadap kesalahan pelanggaran undang-undang siber.

Sebelum itu, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan menekankankepentingan melesenkan platform media sosial untuk menangani isu dalam talian yang mendesak, termasuk buli siber dan dandanan kanak-kanak.
Beliau menambah bahawa kementerian akan memantau dengan teliti pematuhan dan mengambil tindakan yang perlu terhadap penyedia yang gagal menguatkuasakan sekatan umur yang diwajibkan.
Kesegeraan untuk langkah pengawal seliaan ekoran insiden bunuh diri seorang pempengaruh TikTok yang didakwa disebabkan buli siber.

Dalam satu kenyataan berasingan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) pada 1 Januari 2025 telah memaklumkan bahawa tiga gergasi penyedia perkhidmatan media sosial telah memohon lesen untuk beroperasi di Malaysia.
Antara platform yang terlibat dalam permohonan perlesenan termasuk WeChat (Tencent), TikTok (ByteDance) dan tiga plaform di bawah META iaitu Whatsapp, Instagram dan Facebook.
MCMC berkata, aplikasi media sosial iaitu Telegram sedang melalui peringkat akhir proses pelesenan dan akan menerima lesennya tidak lama lagi.