KUALA LUMPUR – Syarikat serta individu yang mempunyai pendapatan perniagaan dan menyalurkan sumbangan kepada program Kampung Angkat, Sekolah Angkat Madani atau Sejahtera Madani akan layak menikmati potongan cukai pendapatan.
Langkah fiskal itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Bajet 2026 di Dewan Rakyat.
Beliau berkata peruntukan RM1 bilion disediakan khusus untuk memperkukuh inisiatif “Ikhtiar Madani Untuk Rakyat” yang memfokus pemerkasaan komuniti, peningkatan pendapatan belia dan pembangunan luar bandar.
Antara penambahbaikan utama ialah peluasan Sejati Madani yang akan melibatkan penyertaan belia dalam aktiviti berasaskan komuniti.
Penyertaan tersebut merangkumi operasi mesin layan diri dan penglibatan dalam perusahaan pertanian, termasuk aplikasi sistem fertigasi.
Anwar menjelaskan, pendekatan turun padang oleh kepimpinan tertinggi kerajaan diteruskan bagi menyelesaikan isu yang membelenggu kampung dan sekolah.
Beliau menegaskan, Perdana Menteri serta Ketua Setiausaha Negara sendiri sudah bergerak ke lapangan bagi menyelesaikan permasalahan setempat.
Berlandaskan momentum itu, jumlah Kampung Angkat Madani akan ditingkatkan kepada 500 buah mulai tahun depan.
Serentak, bilangan Sekolah Angkat Madani akan dinaikkan kepada 1,500 buah dengan penglibatan sektor swasta sebagai rakan pelaksana.
Program Solar Madani yang merekodkan pemasangan 4,000 lampu jalan solar di Sabah akan diperluas ke seluruh negara.
Inisiatif tersebut dijangka mempertingkat keselamatan dan akses kemudahan asas di kawasan luar bandar.
Setakat ini, program sumbangan sektor swasta Sejahtera Madani yang mensasarkan pembasmian miskin tegar berjaya mengumpul RM120 juta.
Kerajaan turut merakamkan penghargaan atas komitmen para penyumbang, terutama entiti korporat yang konsisten menyokong agenda kebajikan nasional.
“Keseluruhan inisiatif ini mencerminkan sinergi antara kerajaan, sektor swasta dan komuniti dalam mengangkat kesejahteraan rakyat di bawah payung Madani,” kata Anwar.