KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan kerajaan MADANI kekal komited meningkatkan kemakmuran Sabah dengan menggandakan Geran Khas Persekutuan negeri itu kepada RM600 juta, iaitu jumlah tertinggi direkodkan setakat ini.

Beliau memaklumkan bahawa bayaran penuh telah dilaksanakan pada 10 September, selepas persetujuan dicapai antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah susulan semakan dilakukan di bawah Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.

Perdana Menteri kemudian mengingatkan agar peruntukan RM600 juta tersebut tidak dijadikan bahan polemik politik.

Anwar yang turut memegang portfolio Menteri Kewangan menyatakan bahawa sejak Malaysia dibentuk, geran untuk Sabah pada asalnya sekitar RM26 juta sebelum dinaikkan kepada RM300 juta di bawah kerajaan MADANI, dan ditambah lagi menjadi RM600 juta bagi 2025.

“Fokus kita ialah mengangkat taraf, maruah, ekonomi dan kebajikan sosial setiap negeri.”

“Dalam kerangka menyeluruh, kelulusan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 serta Belanjawan Negara telah diambil kira,” katanya ketika menyampaikan Ucaptama Integriti Perdana dan pada majlis Anugerah Integriti, Tadbir Urus dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan (AIGA 2025) di sini.

Anwar turut memaklumkan Kerajaan Persekutuan mengambil perhatian terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 17 Oktober mengenai semakan ke atas Geran Khas Persekutuan bagi Sabah.

“Dalam kita menghormati keputusan mahkamah, perlu ditegaskan bahawa sebagai negara yang menyanjung integriti, kita wajib menepati dan melunaskan janji, khususnya selaras semangat Persekutuan,” katanya.

Beliau menambah, segala perkara berkaitan peruntukan untuk Sabah wajar diperincikan supaya tidak dimanipulasi oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Bila menyentuh tadbir urus dan integriti, penilaian mesti dibuat secara keseluruhan. Jika tidak, kita akan terjebak menjadi mangsa politik sempit.”

“Itulah sebabnya saya nyatakan di Parlimen bahawa antara yang membantah perkara ini adalah bekas menteri, termasuk bekas perdana menteri serta bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak,” katanya.

Leave a Reply