Dalam tempoh tiga hari yang lalu, para pemimpin dua negara yang sedang rancak membangun – kedua-duanya negara moden berasaskan gabungan monarki, dikurniakan garis pantai yang luas serta minyak bernilai, satu di kawasan tropika dan satu lagi di padang pasir – telah bertemu di Emiriah Arab Bersatu (UAE) untuk memeterai hubungan dua hala, perdagangan dan ekonomi.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim menamatkan lawatan rasmi keduanya ke UAE, yang juga menjadi lawatan luar negara pertamanya selaku Pengerusi ASEAN dan kunjungan sulungnya bagi tahun 2025.

Pertemuan tersebut menekankan betapa pentingnya kerjasama ekonomi sebagai asas kepada hubungan dua hala yang semakin kukuh antara Malaysia, sebuah negara dagangan, dan UAE, yang sejak sedekad lalu giat menerajui kepelbagaian ekonomi di rantau kaya bahan api fosil itu.

Antara intipati utama lawatan ini ialah pemeteraian Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Malaysia-UAE (MY-UAE CEPA), FTA pertama Malaysia dengan ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC).

Perjanjian ini jauh lebih bernilai daripada sekadar tandatangan di atas kertas, kerana ia menjamin akses bebas duti serta-merta bagi 6,331 garis tarif produk, dengan kemungkinan diperluaskan. Hal ini memberi faedah kepada eksport utama Malaysia seperti minyak sawit mentah, bahan kimia, plastik, elektronik, barang kemas, produk petroleum, barangan berasaskan getah dan makanan terproses dalam tempoh tujuh tahun akan datang.

Sementara itu, Bab Islamik dalam CEPA membuka peluang lebih luas untuk sektor perdagangan halal, kewangan Islam, pembangunan modal insan dan ekonomi digital Islam agar dapat bertumbuh dan meningkatkan skop serta urus niaga mereka. Langkah ini turut menggalakkan aliran data rentas sempadan, e-dagang, kerjasama infrastruktur digital, teknologi hijau serta pembangunan industri.

Penekanan terhadap isu-isu ini akan merangsang pertumbuhan perdagangan dua hala dan meningkatkan aliran pelaburan, dengan sokongan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sebagai keutamaan. Akhirnya, ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan serta membuka akses pasaran UAE yang lebih meluas.

Lebih menarik, perjanjian ini turut mempersiapkan Putrajaya untuk rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-GCC (MGFTA) yang dijangka bermula awal 2025.

Satu lagi pencapaian besar ialah termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) di bawah inisiatif Malaysia Madani Artificial Intelligence (MMAI) oleh Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan Menteri Pelaburan UAE Mohamed Hassan Alsuwaidi. Bagi saya, ini menjadi titik penting yang bakal memperkukuh komitmen kedua-dua pihak dalam memanfaatkan teknologi maju demi keselamatan dan kesejahteraan masyarakat.

Memandangkan teknologi pengkomputeran, analitik data dan AI berkembang begitu pantas, Malaysia akan kerugian besar jika tidak memanfaatkan peluang bekerjasama dengan rakan strategik berwawasan seperti UAE.

Kerjasama ini juga menggariskan falsafah memanfaatkan AI bukan sekadar untuk kecekapan perniagaan atau produktiviti, bahkan untuk memperkasakan negara dalam menggunakan kuasa transformasinya demi kebaikan masyarakat, melindungi keselamatan awam secara menyeluruh, dan memacu kemajuan teknologi demi keamanan serta kemakmuran bersama.

Dari sudut praktikal, kedua-dua negara bersetuju menggunakan platform seperti Forum Ekonomi ASEAN-GCC untuk memperhebat kerjasama sektor awam-swasta dalam bidang AI, menghimpunkan pihak berkepentingan dari aspek dasar, industri, dan inovasi dalam menangani cabaran global yang semakin kompleks di era pasca-normal ini.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Abu Dhabi, UAE pada 13 Januari 2025.

Penglibatan Anwar dalam dialog bertema ‘ASEAN’s Interconnected Future: Linking Energy, Trade & Prosperity’ di Minggu Kemampanan Abu Dhabi (ADSW) 2025 menjadi lambang komitmen kerajaan MADANI untuk bukan sahaja meningkatkan kesejahteraan rakyat, tetapi juga melindungi alam sekitar dan iklim.

Harus diingat bahawa kemahuan politik di peringkat tertinggi, bersama pelaburan dalam teknologi hijau, merupakan teras penting bagi menjayakan Peta Jalan Peralihan Tenaga Negara Malaysia dan dasar-dasar lain ke arah masa depan negara yang lebih lestari.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bertemu dengan Timbalan Presiden UAE, Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum di Istana Za’abeel, Dubai, UAE pada 13 Januari 2025.

Sehubungan itu, pertemuan Perdana Menteri dengan Naib Presiden dan Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum telah memuktamadkan persetujuan untuk memperbaharui kerjasama dalam bidang tenaga, keselamatan makanan, teknologi dan pusat data. Minat Abu Dhabi yang mendalam terhadap ASEAN turut terserlah menerusi statusnya sebagai Rakan Dialog Sektoral Pertama ASEAN dari kalangan GCC dan kejayaan termeterainya CEP UAE-Indonesia pada September 2023.

Dalam erti kata lain, landasan kini tersedia untuk menonjolkan kerjasama GCC-ASEAN sebagai satu kuasa penting dalam kerjasama pelbagai hala, di samping diplomasi dua hala yang berpaksikan kepentingan nasional.

Namun, keberkesanan mesin diplomasi bergantung pada insan-insan yang menggerakkannya. Kepercayaan dan persefahaman antara budaya perlu dipupuk lama, agar negara terus dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat di samping menyebarluaskan manfaat ekonomi dan kestabilan politik ke rantau lain melalui instrumen dua hala mahupun pelbagai hala.

Tidak dapat disangkal, lawatan Perdana Menteri ke UAE kali ini menyokong aspirasi Putrajaya selaku Pengerusi ASEAN pada 2025, terutamanya dalam memacu integrasi ekonomi serantau dan menjadikan Malaysia sebagai pintu masuk perniagaan UAE ke ASEAN.

Sambutan mesra para pemimpin, penggubal dasar, pengurus dana kekayaan negara dan tokoh perniagaan UAE terhadap Anwar memberi petanda yang cerah bagi kejayaan dan keberkesanan perjanjian serta perbincangan yang telah dicapai.

Dengan inisiatif ASEAN-GCC yang akan menyusul, lawatan ini menyediakan asas kukuh untuk kerjasama jangka panjang yang menguntungkan kedua-dua belah pihak serta menjadi contoh bagi platform antara wilayah.

Oleh Datuk Prof Dr Mohd Faiz Abdullah
Pengerusi, ISIS Malaysia
15 Januari 2025

Leave a Reply