Malaysia akan membina sebuah sekolah, hospital dan masjid sebagai usaha awal untuk membantu membangunkan semula Gaza, Palestin, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, kerja-kerja pembinaan semula tersebut akan dilaksanakan secara bersama dengan penglibatan rakyat serta sektor swasta.

“Ini adalah sebahagian daripada usaha kita, pengorbanan komuniti dan rakyat. Semoga Allah melindungi kita dan menjamin keselamatan Gaza serta Palestin,” katanya menerusi rakaman video pada hari ini.

Anwar berkata, pembinaan semula Gaza itu juga akan melibatkan kerjasama antara kerajaan Jepun dan Malaysia, yang berhasrat menubuhkan serta melancarkan dana melalui program Asia Timur.

Pada 18 Januari lalu, Anwar dilaporkan berkata bahawa pembinaan semula Gaza, yang hampir keseluruhannya musnah akibat serangan Israel sejak Oktober 2023, dianggarkan menelan kos melebihi AS$1 trilion.

Beliau menjelaskan, jumlah yang begitu besar diperlukan kerana kemudahan-kemudahan penting seperti masjid, sekolah, hospital dan rumah penduduk telah musnah.

Anwar turut memaklumkan bahawa Jepun telah menjemput Malaysia untuk bersama-sama mempengerusikan Persidangan Kerjasama Negara-Negara Asia Timur bagi Pembangunan Palestin (CEAPAD), dengan fokus khas pada pembinaan semula Gaza.

Sementara itu, Anwar menerusi catatan di Facebook berkata, pengumuman gencatan senjata di Gaza, susulan kekejaman yang meragut lebih 46,000 nyawa dan menyebabkan lebih dua juta penduduk Palestin hilang tempat tinggal, harus disambut dengan rancangan untuk pemulihan Gaza.

“Marilah kita berdoa dan berharap agar Allah SWT terus memberikan perlindungan kepada Gaza dan Palestin serta memberkati setiap usaha dan pengorbanan yang kita lakukan untuk memberi mereka harapan baharu, Insya-Allah,” katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri Qatar Sheikh Mohammed Abdulrahman Jassim Al Thani, yang juga Menteri Luar Negeri, mengumumkan bahawa usaha rundingan membabitkan Qatar, Mesir dan Amerika Syarikat berjaya mencapai persetujuan gencatan senjata di Gaza, selain pertukaran tahanan antara Hamas dan Israel.

Perjanjian yang berkuat kuasa pada 19 Januari itu antara lain menetapkan bahawa Hamas akan membebaskan 33 tebusan sebagai pertukaran dengan tahanan Palestin.

Leave a Reply