KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan untuk memberi mandat lesen untuk semua platform media sosial bermula 1 Januari 2025 mendapat pelbagai reaksi positif meliputi semua lapisan masyarakat.

Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung berkata, perlesenan penyedia media sosial merupakan langkah ke arah akauntabiliti dan landskap siber yang lebih efektif.

Beliau berkata, perkara tersebut menjadi keutamaan di hati beliau kerana dirinya menawarkan bantuan kepada ramai mangsa penipuan atas talian baru-baru ini dan berpendapat bahawa ia perlu ditangani secepat yang mungkin.

“Ini adalah subjek yang dekat di hati saya kerana saya telah membantu ramai mangsa penipuan sebelum ini dan ini adalah masalah yang sangat meluas yang perlu ditangani.

“Jumlah kerugian kewangan di bawah kiraan #ScamVictimSupport telah melebihi RM10 juta, manakala ada yang masih mengalami trauma selepas penipuan selepas bertahun-tahun.

“Kami memerlukan platform untuk mengambil lebih banyak akauntabiliti dan tanggungjawab untuk meningkatkan keselamatan dan keselamatan dalam dunia digital. Adalah baik untuk melihat penyertaan WeChat, Telegram, TikTok dan Meta dalam inisiatif ini.

“Saya turut menggesa Google untuk turut terlibat dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya mereka juga boleh mengambil bahagian dalam proses tersebut,” ujar Chean Chung dalam satu kenyataan di laman sosial beliau di platform X pada 3 Januari lalu.

Sementara itu, hasil tinjauan Borneo Madani Post mendapati majoriti rakyat Malaysia menyokong usaha Kerajaan dalam pelaksanaan perlesenan penyedia platform media sosial.

“Harap lepas perlesenan media sosial ini dilaksanakan, semua penyedia platform dapat bagi kerjasama untuk tangani pelbagai jenayah di media sosial,” kata salah satu pengguna platform X.

“Perlesenan media sosial adalah langkah yang wajar dan tepat untuk melindungi data peribadi pengguna,” kata pengguna platform X, Zainabon.

Sementara itu, pakar keselamatan siber daripada Universiti Sains Malaysia, Profesor Madya M. Selvakumar berkata, pelaksanaan perlesenan media sosial oleh MCMC bukan perkara baharu kerana ia turut diamalkan di beberapa negara maju termasuk di benua Eropah, Singapura, Kanada, Amerika Syarikat dan Australia.

Beliau berkata justeru itu, tidak timbul isu kononnya langkah ini diambil untuk menyekat kebebasan bersuara di Malaysia.

Tambahnya, pelaksanaan ini mampu mengawal selia media sosial agar mereka memenuhi peraturan dan undang-undang negara selain memastikan kandungan tidak menggugat perpaduan negara yang dikecapi buat sekian lama.

Sebelum itu, dalam satu kenyataan pada 1 Januari lalu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, ia akan menilai status penyedia platform yang masih belum mendapatkan lesen yang diperlukan dan mempertimbangkan tindakan sewajarnya di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Penyedia platform yang didapati melanggar keperluan pelesenan boleh tertakluk kepada siasatan dan tindakan kawal selia.

“Sementara itu, Telegram berada di peringkat akhir proses pelesenan, dan dijangka memperoleh lesennya tidak lama lagi. Meta, yang menyelia Facebook, Instagram dan WhatsApp, telah memulakan proses mendapatkan lesen untuk mengendalikan platform di negara ini, yang juga dijangka siap tidak lama lagi,” kata MCMC. –

Leave a Reply