KUALA LUMPUR – Sebuah kenyataan yang menyokong Israel, yang pernah dibuat oleh Muhammad Yusoff Rawther beberapa tahun lalu, kini kembali menghantuinya.

Gara-gara kenyataan pada tahun 2017 itu, kesetiaan beliau kepada negara kini dipersoalkan secara terbuka oleh gabungan beberapa NGO yang telah membuat laporan polis mengenainya hari ini.

Bertempat di IPD Dang Wangi, wakil-wakil NGO menyuarakan rasa bimbang mereka terhadap pendirian Yusoff yang disifatkan amat bertentangan dengan prinsip dan sentimen rakyat Malaysia.

Menurut mereka, kenyataan Yusoff yang menyokong Israel dan menafikan hak Arab ke atas Baitulmaqdis adalah sebab utama siasatan polis perlu dijalankan bagi menolak sebarang kemungkinan beliau mempunyai kaitan dengan agenda asing.

Jurucakap kumpulan itu, Dzul Hilmi Zainol, berkata kenyataan tersebut bukan sahaja berbahaya, tetapi ia juga seakan-akan memberi gambaran bahawa wujudnya rangkaian penyokong rejim Zionis di dalam negara.

“Kami amat terkejut apabila masih ada pemimpin politik dan peguam di negara ini yang sanggup mempertahankannya. Ini seolah-olah menghalalkan satu pendirian yang jelas menentang dasar negara dan melukakan hati rakyat yang bersolidariti dengan Palestin,” tegasnya.

Turut memberi pandangan ialah peguam yang hadir bersama NGO, Asheeq Ali Sethi Alivi. Beliau menasihati Yusoff Rawther secara terbuka agar tidak membiarkan dirinya menjadi alat kepada mana-mana kuasa luar.

“Jika benar dengan perjuangan anda, berdirilah atas kaki sendiri. Jangan jadi boneka sesiapa, apatah lagi kepada negara yang jelas menindas dan membunuh rakyat Palestin. Itu sahaja nasihat saya,” kata Asheeq Ali.

Laporan polis ini, menurut mereka, adalah satu langkah penting untuk melindungi negara. Mereka berharap pihak berkuasa akan memandang serius perkara ini dan menyiasatnya hingga ke akar umbi bagi memastikan kedaulatan Malaysia tidak sewenang-wenangnya dipermainkan.

Leave a Reply