KUALA LUMPUR – Ucapan khas Perdana Menteri menekankan pemulihan struktur ekonomi menerusi kerangka Ekonomi MADANI yang kini mulai menampakkan hasil dalam bentuk pertumbuhan, daya saing dan keyakinan pasaran.
Pertumbuhan KDNK 4.4 peratus pada suku pertama 2025 menandakan momentum yang lebih mapan, diiringi unjuran positif bagi suku kedua.
Peningkatan 11 anak tangga dalam Indeks Daya Saing Dunia 2025 ke tangga ke-23 menggambarkan kesan pembaikan kecekapan pentadbiran, produktiviti dan persekitaran pelaburan.
Anwar turut mengumumkan SARA RM100 kepada semua warganegara dewasa mulai 31 Ogos menerusi MyKad dan memanjangkan jumlah bantuan tunai rakyat tahun ini kepada RM15 bilion.
Kerajaan mengekalkan kadar tol sedia ada bagi 10 lebuh raya tahun ini dengan kos ditanggung melebihi RM500 juta bagi mengelak beban tambahan kepada pengguna harian.
Peruntukan Program Jualan Rahmah MADANI digandakan kepada RM600 juta bagi menambah kekerapan dan liputan lokasi jualan harga rahmah di seluruh negara.

Harga RON95 akan disasarkan pada RM1.99 seliter dengan mekanisme MyKad yang akan dimuktamadkan menjelang akhir September agar subsidi ditumpu kepada rakyat Malaysia.
Kadar inflasi keseluruhan setakat Jun 2025 berlegar 1.1 peratus namun harga makanan kekal lebih tinggi, justeru intervensi kerajaan dilihat bersifat tepat masa.
Kadar pengangguran pula turun ke 3.0 peratus pada Mei 2025, menandakan pasaran buruh yang semakin mampan.
Mengulas pengumuman itu, penganalisis dasar Awam Dr Mujibu Abd Muis melihat pendekatan kali ini lebih inklusif kepada M40 kerana bantuan tunai one-off berskala nasional, penurunan harga bahan api bersasar dan pembekuan kenaikan tol menjawab rungutan tradisi bahawa kumpulan pertengahan “sering terlepas radar” bantuan kerajaan.
Beliau menegaskan tumpuan inklusif itu penting bagi mengekalkan keyakinan masyarakat pertengahan yang menjadi nadi permintaan domestik dan pembayar cukai terbesar.
Penganalisis SERC, Lee Heng Guie, menilai penurunan RON95 dan penangguhan tol memang memberi kelegaan segera kepada M40 yang banyak menggunakan kereta dan lebuh raya, namun menegaskan keperluan strategi jangka panjang seperti peningkatan produktiviti dan gaji sebenar.
Beliau juga meminta kejelasan teknikal sama ada harga RM1.99 akan tertakluk kepada formula APM dan bagaimana mekanisme pelaksanaan diselaraskan sebelum September.
Ketua CME, Dr Carmelo Ferlito, berpendapat penjimatan hasil rasionalisasi subsidi perlu dilabur semula dalam sektor berdaya pulangan jangka panjang seperti infrastruktur dan produktiviti, yang akhirnya memperkukuh peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah M40.
Kerajaan turut mempercepat pengisian 4,352 jawatan kesihatan termasuk lantikan tetap bagi doktor kontrak menjelang hujung tahun bagi menambah kapasiti hospital dan klinik.
Langkah meredakan kos sara hidup disokong mekanisme pasaran dan disiplin fiskal dengan ringgit yang bertambah kukuh tahun ini, sekali gus membantu meredam kos import barangan keperluan.
Di sisi lain, angka pelaburan diluluskan 2024 berjumlah RM378.5 bilion menurut MIDA, iaitu rekod tertinggi dan terus memberi kesan limpahan pekerjaan serta rantaian bekalan domestik.
Kementerian Sumber Manusia menegaskan 15 September 2025 ialah cuti umum tambahan dan majikan dikehendaki mematuhinya mengikut peruntukan undang-undang buruh.
Kerajaan sebelumnya melaksanakan gaji minimum RM1,700 yang berkuat kuasa 1 Februari dan dikuatkuasa penuh mulai 1 Ogos 2025 sebagai pelengkap agenda peningkatan pendapatan.
Komitmen GLIC dan GLC untuk memastikan sekurang-kurangnya 153,000 pekerja menerima gaji kehidupan wajar sekitar RM3,100 menunjukkan anjakan budaya upah yang lebih progresif.
Di peringkat komuniti, Sejati MADANI menyalur geran sehingga RM100,000 bagi projek ekonomi setempat dan setakat ini lebih 8,600 aktiviti dibenihkan, manakala Kampung Angkat MADANI disasar diperluas kepada 200 kampung dan Sekolah Angkat MADANI kepada 1,000 sekolah.
Rangka besar peralihan dan keutamaan negeri turut diterjemah melalui pembentangan RMK-13 pada 31 Julai 2025 sebagai pelan pembangunan 2026–2030.