TAWAU – Kerjasama strategik antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka lembaran baharu dalam landskap kesihatan negara apabila satu inisiatif transformasi kesihatan digital diumumkan secara rasmi di Sabah pada 23 Julai 2025.
Sabah dipilih sebagai negeri perintis kepada pelaksanaan projek penghantaran ubat menggunakan dron, dengan Klinik Kesihatan Tawau berfungsi sebagai pusat utama bagi misi penghantaran ke dua buah Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) berhampiran.
Langkah ini merupakan sebahagian daripada lapan inisiatif utama yang digariskan dalam kolaborasi tersebut yang menyasarkan pemerkasaan sistem kesihatan nasional menerusi adaptasi teknologi moden.
Pemilihan Sabah dibuat berdasarkan jaringan capaian komunikasi yang tinggi di negeri itu, dengan liputan 4G mencapai 94.4% manakala 5G pula mencatat 69%, selain faktor geografi mencabar yang memerlukan penyelesaian inovatif.
Antara inisiatif lain yang digerakkan ialah pembangunan infrastruktur komunikasi masa depan, pemasangan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan peralatan komputer di klinik desa serta komuniti, selain penyediaan kiosk telekesihatan di lokasi NADI.
Selain itu, inisiatif ini turut merangkumi pelaksanaan langkah keselamatan siber, pemberian geran bagi pengadaptasian sistem EMR, penubuhan Hab Inovasi Hospital Pintar serta penglibatan Malaysia dalam ekosistem kesihatan digital global.
Sebanyak 1,099 buah NADI di seluruh negara akan berfungsi sebagai gerbang utama kesalinghubungan digital, khususnya dalam penyediaan perkhidmatan konsultasi maya kepada masyarakat luar bandar.

Kemudahan seperti kiosk maya akan membolehkan penduduk pedalaman berhubung secara langsung dengan doktor tanpa perlu hadir secara fizikal ke klinik, sekaligus meningkatkan tahap akses kepada rawatan primer.
Menurut Menteri Kesihatan, YB Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, inisiatif bersama ini amat signifikan kerana ia berupaya memperkukuh sistem kesihatan awam yang kini berdepan pelbagai cabaran struktur dan kependudukan.
Beliau berkata, pelaksanaan strategi ini dapat memacu pencapaian misi “1 Individu, 1 Rekod” menerusi pengurusan data kesihatan yang lebih bersepadu dan menyeluruh.
Penggunaan teknologi pengkomputeran awan serta platform maya akan membantu mempercepatkan proses rawatan susulan, memantau status pesakit luar bandar secara berkala serta memastikan bekalan ubat tiba tepat pada waktunya.
Orang ramai di Tawau menyambut baik projek ini, termasuk Josephine Malinda, 46, seorang pembantu klinik dari Merotai yang menganggap pendekatan ini sebagai penyelamat kepada pesakit kronik di kawasan pedalaman.
“Ramai pesakit kencing manis dan darah tinggi yang terpaksa naik bot atau pacuan empat roda ke pekan hanya untuk ambil ubat. Dengan dron, semua itu jadi lebih mudah dan selamat,” katanya.
Ahmad Zakwan, 32, yang bekerja sebagai penghantar makanan di bandar Tawau berkata, teknologi kiosk telekesihatan amat membantu golongan muda dan tua.
“Warga emas boleh tanya doktor dengan lebih cepat tanpa perlu ke bandar. Orang muda pula boleh semak keputusan darah atau tekanan dengan lebih efisien,” ujarnya.
Seorang guru sekolah rendah, Dayang Norashikin, 38, dari Kalabakan turut memuji penyediaan sistem EMR di klinik desa.
“Sebelum ini rekod pesakit guna fail kertas yang boleh hilang atau rosak. Bila semua digital, rawatan lebih cepat, tak perlu ulang cerita penyakit,” katanya.
Nor Azwan, 44, pemandu van sekolah dari Taman Semarak, berkata langkah keselamatan siber yang diumumkan sangat penting.
“Saya sokong usaha jamin data pesakit tidak bocor. Sekarang semua maklumat dalam sistem, jadi mesti ada perlindungan tinggi,” katanya.
Reaksi positif turut dikongsi oleh Puan Siti Rahayu, 50, suri rumah di Kampung Inderasabah, yang menyifatkan konsultasi maya sebagai “rahmat” untuk wanita luar bandar.
“Kami kaum ibu kadang malu nak pergi klinik kalau sakit ringan. Kalau ada kiosk, mudah kami tanya doktor tanpa perlu keluar jauh,” katanya.
Menurut seorang pegawai teknikal, Hafizal Jamal, 36, dari Balung, pendekatan ini akan melonjakkan keupayaan Malaysia dalam bidang teknologi kesihatan.
“Kalau kita boleh capai piawaian global dan jadi pusat inovasi kesihatan, ia akan tarik pelabur dan manfaatkan seluruh rakyat,” ujarnya.
Gabungan pendekatan digital, inovasi komunikasi dan kemudahan rawatan jarak jauh ini adalah jawapan kepada pelbagai cabaran kesihatan awam, termasuk beban penyakit tidak berjangkit (NCD), populasi warga emas yang meningkat serta kekangan tenaga kerja kesihatan.
Langkah ini dilihat seiring dengan visi Kerajaan MADANI dalam memacu Malaysia sebagai pemain utama dalam bidang kesihatan digital di rantau Asia.