PUTRAJAYA – Ketika Malaysia meraikan lonjakan 11 anak tangga ke kedudukan ke-23 dalam Penarafan Daya Saing Dunia (WCR) 2025, tumpuan kini terarah kepada faktor utama di sebalik kejayaan ini iaitu reformasi struktur dan penambahbaikan menyeluruh dalam kecekapan jentera kerajaan dan persekitaran perniagaan.
Laporan oleh Institut Pembangunan Pengurusan (IMD) itu mengesahkan bahawa usaha gigih kerajaan untuk membasmi karenah birokrasi dan meningkatkan ketelusan kini membuahkan hasil yang ketara.
Jika Prestasi Ekonomi menjadi tajuk utama kejayaan, maka peningkatan serentak sebanyak lapan anak tangga bagi faktor Kecekapan Kerajaan dan Kecekapan Perniagaan adalah naratif sokongan yang membuktikan keberkesanan pendekatan “whole-of-government” yang diuar-uarkan oleh pentadbiran semasa.

Peningkatan ini adalah bukti komitmen jitu untuk melakukan perubahan dari dalam, satu aspek yang sering dianggap sebagai cabaran paling besar bagi mana-mana negara membangun.
Kejayaan ini tidak datang bergolek. Ia adalah hasil kerja keras dan penyelarasan strategik pelbagai agensi yang dipacu dari peringkat tertinggi.
Jawatankuasa Daya Saing Negara (JKDSN), yang dipengerusikan bersama oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), YB Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, dan Menteri Kewangan II, YB Senator Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, memainkan peranan penting dalam menetapkan hala tuju strategik merentas kementerian.
Di peringkat pelaksanaan, Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) yang diterajui sendiri oleh Ketua Setiausaha Negara (KSN), Y. Bhg. Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, menjadi jentera penggerak utama.

STAR bertanggungjawab memastikan setiap inisiatif penambahbaikan dilaksanakan dengan berkesan dan pantas. Salah satu program utama di bawah STAR ialah program Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB), yang telah memperkenalkan lebih 1,000 inisiatif untuk mempermudah urusan orang ramai dan sektor swasta dengan kerajaan. Inisiatif-inisiatif ini merangkumi pelbagai aspek, daripada pendigitalan proses permohonan lesen sehinggalah kepada pewujudan portal sehenti untuk pelabur.
Tengku Zafrul Aziz menegaskan kaitan langsung antara pembaharuan birokrasi dengan keyakinan pelabur.
“Peningkatan daya saing negara… mencerminkan bahawa faktor-faktor birokrasi saling berkait dengan pelaburan dan pembangunan industri. Apabila proses menjadi lebih telus, pantas dan boleh dijangka, pelabur akan lebih yakin untuk membawa masuk modal mereka,” ujar beliau. Komitmen ini selari dengan aspirasi Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), yang bertujuan memodenkan perkhidmatan awam.
Di lapangan, kesan positif daripada reformasi ini dirasai secara langsung oleh rakyat dan pihak berkepentingan.
Puan Adeline Chong, 42, seorang perunding pematuhan perniagaan, mengakui wujudnya perubahan ketara. “Tugas saya membantu syarikat baharu menavigasi proses pelesenan. Saya boleh katakan dalam tempoh 18 bulan kebelakangan ini, banyak proses kini boleh dibuat secara dalam talian dan tempoh menunggu jawapan jauh lebih singkat,” katanya, menekankan penjimatan masa dan kos untuk pelanggannya.
Malah usahawan kecil seperti Muhammad Alif, 33, pemilik kafe, turut merasai impaknya. “Saya baru sahaja memperbaharui lesen perniagaan saya bulan lepas. Keseluruhan proses mengambil masa kurang dari dari sehari melalui portal dalam talian. Dulu, saya mungkin perlu ambil cuti sehari suntuk untuk beratur,” kongsinya.
Dari perspektif korporat, Ir. Dr. Melissa Ong, 48, Pegawai Eksekutif sebuah syarikat teknologi, menegaskan bahawa kepantasan adalah kunci. “Kelulusan untuk geran atau insentif yang lebih cepat membolehkan kami berinovasi dan bersaing di peringkat global,” ujarnya.
Perubahan ini turut mendapat pujian daripada bekas penjawat awam seperti Encik Rahman bin Jaafar, 65, yang melahirkan rasa bangga melihat usaha reformasi di bawah kepimpinan KSN kini membuahkan hasil nyata, bukan sekadar retorik.

Pengesahan dari sudut akademik datangnya daripada Profesor Madya Dr. James Fernandez, 55, yang menyatakan, “Laporan IMD ini mengesahkan apa yang telah dibincangkan dalam kalangan penganalisis: tadbir urus yang baik adalah asas kepada daya saing ekonomi. Ia menunjukkan adanya ‘political will’ yang kuat untuk melakukan pembaharuan.”
Kejayaan dalam WCR 2025 ini membuktikan bahawa pelaburan dalam menambah baik tadbir urus dan kecekapan perkhidmatan awam bukanlah satu perbelanjaan, sebaliknya ia adalah satu pelaburan strategik yang mampu menjana pulangan berganda dalam bentuk keyakinan pelabur, pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara.