KUALA LUMPUR – Ekonomi negara diunjurkan mencatat pertumbuhan sederhana antara 4 hingga 4.5 peratus pada 2026 berbanding prestasi 2025 susulan cabaran ekonomi global, menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau menjelaskan, unjuran berkenaan mengambil kira jangkaan pertumbuhan tahun semasa antara 4 hingga 4.8 peratus.

Anwar berkata, meskipun konflik di rantau dan rintangan berkaitan tarif mengekang persekitaran luaran, kekuatan asas domestik membolehkan Malaysia menyerap kejutan luar dengan lebih berkesan.

Perincian itu dinyatakan dalam prakata Laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2026 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Jumaat, 10 Oktober.

“Agenda reformasi struktur negara berterusan di atas landasan fiskal yang mantap, sekali gus menegaskan amalan pengurusan kewangan awam yang berhemat dalam suasana global sarat ketidaktentuan,” katanya.

“Institusi antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia turut mengekalkan prospek yang teguh terhadap Malaysia ketika ekonomi dunia berdepan awan mendung,” kata Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan.

Menurutnya, ekonomi Malaysia kekal konsisten merekodkan pertumbuhan stabil dan berdaya tahan apabila separuh pertama 2025 berkembang 4.4 peratus, sekali gus menempatkan negara antara pemain terkuat di rantau ini.

Beliau berkata, trajektori tersebut digerakkan oleh permintaan dalam negeri yang utuh, dipacu aliran pelaburan berterusan, kenaikan gaji dan pasaran buruh yang terpelihara kestabilannya.

“Kenaikan 11 kedudukan Malaysia dalam Ranking Daya Saing Dunia IMD 2025 ke tangga ke-23 merupakan bukti keyakinan terhadap asas ekonomi, selain menjadi kedudukan terbaik sejak 2020,” ujarnya.

Beliau menambah, kerajaan komited menangani isu struktur yang lama berlarutan seperti ketidaksamarataan pendapatan, jurang pembangunan wilayah, perubahan iklim dan penuaan penduduk.

Dalam pada itu, defisit fiskal dikurangkan daripada 5.5 peratus KDNK pada 2022 kepada 4.1 peratus pada 2024, manakala sasaran penurunan selanjutnya ditetapkan kepada 3.5 peratus pada 2026 dan 3 peratus dalam jangka sederhana di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal dan Kewangan Awam 2023 (Akta 850).

“Pengukuhan semula ruang fiskal amat mustahak memandangkan kejutan ekonomi semakin kerap dan berimpak besar. Bagi merapatkan defisit, pelaksanaan reformasi fiskal sedang dipergiat,” katanya.

Beliau turut menyatakan bahawa Akta 850 dan pengenalan Rang Undang-Undang Perolehan Kerajaan 2025 adalah antara inisiatif memperkukuh aspek kebertanggungjawaban, ketelusan dan kecekapan tadbir urus.

Selain itu, penambahbaikan SST, pelaksanaan e-invois dan rasionalisasi subsidi bersasar meliputi diesel, RON95 serta tenaga elektrik telah menghasilkan penjimatan berbilion ringgit.

Penjimatan tersebut disalurkan semula bagi memperhebatkan bantuan dan perlindungan sosial, dengan peruntukan STR dan SARA bertambah 50 peratus dalam masa setahun kepada RM15 bilion, memberi manfaat sehingga 22 juta rakyat.

Leave a Reply