KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan penyasaran subsidi membolehkan kerajaan menjimatkan sekitar RM15.5 bilion setahun.
Beliau menegaskan keseluruhan penjimatan itu akan digembleng untuk memperkukuh peruntukan menangani kos sara hidup dan pembinaan infrastruktur berimpak tinggi untuk rakyat.
“Subsidi disasarkan agar wang negara benar-benar sampai kepada rakyat,” katanya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjelaskan langkah mengapungkan harga ayam dan telur masing-masing menjana penjimatan RM1 bilion.
Katanya lagi, gabungan subsidi bersasar serta penyusunan semula tarif elektrik menghasilkan penjimatan RM6 bilion, manakala rasionalisasi subsidi diesel menyumbang RM5 bilion.
Beliau turut menyatakan rasionalisasi subsidi RON95 berpotensi memberikan tambahan penjimatan sehingga RM2.5 bilion, dengan Program Budi95 merekodkan lebih 10 juta warga Malaysia layak membeli RON95 pada harga RM1.99 seliter.
Menurut Perdana Menteri, pangkalan data 16.5 juta penerima yang layak sedang dikemas kini untuk menyalurkan kuota tambahan kepada 23,000 pemilik bot berdaftar serta lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif.
Dalam masa sama, kerajaan menyalurkan elaun bulanan RM200 kepada pemilik kenderaan individu, golongan petani dan pekebun kecil.