KUALA LUMPUR – Duli Yang Maha Mulia Sultan Ibrahim, Yang di-Pertuan Agong Malaysia, menyeru kerajaan agar bersikap tegas dalam membendung budaya fitnah dan hasutan dalam talian di media sosial yang berpotensi mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Dalam titah diraja ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 hari ini, baginda menzahirkan kebimbangan terhadap budaya tersebut yang telah menimbulkan kekeliruan, permusuhan dan perpecahan.

“Justeru, kerajaan mesti bertindak tegas untuk menangani budaya ini dan perlu proaktif dalam menyediakan maklumat yang tepat serta boleh dipercayai,” titah Sultan Ibrahim.

Istiadat pembukaan itu diadakan serentak untuk Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta disiarkan secara langsung melalui saluran media rasmi, televisyen tempatan dan platform dalam talian.

Komen Penganalisis
Sementara itu, menurut Penganalisis Komunikasi Media Sosial, Dr. Faridah Hashim yang dipetik oleh media tempatan berkata, fitnah dalam talian di Malaysia semakin membimbangkan kerana ia mudah tersebar dan sukar dikawal.

“Penyebaran maklumat palsu boleh berlaku dalam sekelip mata, dan kesannya amat besar kepada perpaduan nasional. Kerajaan, pihak berkuasa serta pengguna media sosial sendiri perlu bekerjasama untuk mengekang gejala ini,” katanya.

Baginda (Sultan Ibrahim) turut mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada bagi mengelakkan menjadi mangsa jenayah siber seperti penipuan kewangan dalam talian atau ‘scam’ dan kecurian identiti.

Sultan Ibrahim turut mahu kerajaan segera melaksanakan langkah bagi memperkukuh infrastruktur dan ekonomi digital, meningkatkan keselamatan siber serta mengadaptasi teknologi terkini.

“Sistem perkhidmatan kerajaan juga perlu dipertingkat dengan teknologi digital yang lebih cekap dan telus. Langkah ini penting untuk memerangi rasuah, penyalahgunaan kuasa dan budaya kerenah birokrasi yang menyulitkan urusan rakyat,” titah baginda.

Turut hadir ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan-Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Johari Abdul serta Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah.

Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini akan berlangsung selama 18 hari, di mana Ahli-Ahli Parlimen akan membahaskan usul menjunjung kasih atas titah diraja selama tujuh hari bermula 4 Februari.

Persidangan kemudiannya akan disambung dengan sesi penggulungan oleh menteri-menteri bermula 19 Februari hingga 25 Februari.

Leave a Reply