KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) untuk mempertingkatkan koordinasi seluruh jentera respons persekutuan dan negeri susulan banjir di Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, tumpuan utama pada masa ini adalah kebajikan mangsa banjir serta memastikan keselamatan penduduk di kawasan yang terjejas.

“Saya berasa amat sedih dengan laporan situasi banjir yang semakin teruk di Sabah dan Sarawak. Saya menzahirkan rasa simpati yang mendalam kepada ribuan mangsa yang terkesan oleh bencana ini.

“Semoga mereka yang terjejas dikurniakan kekuatan dan ketabahan untuk menghadapi ujian ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Anwar turut mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri untuk mengambil langkah perlu bagi memastikan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terlibat dengan banjir dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan kondusif.

Beliau menambah bahawa Skuad Ihsan Madani akan digerakkan untuk membantu mangsa banjir di pusat pemindahan, selain bersiap siaga untuk operasi pascabanjir.

Menurut portal Pusat Arahan Bencana Negara (NDCC), sejumlah 10,621 orang telah dipindahkan ke pusat pemindahan setakat jam 4 petang hari ini, melibatkan 6,692 orang di Sarawak dan 3,929 orang di Sabah.

Berdasarkan laporan terkini, keadaan banjir di beberapa kawasan di Sabah mulai surut, namun terdapat beberapa daerah yang masih terjejas di pedalaman Sabah, khususnya di Beaufort dan Tenom.

Di Sarawak, paras air di sungai utama menunjukkan sedikit penurunan, tetapi jumlah mangsa yang dipindahkan di beberapa bahagian seperti Sri Aman dan Samarahan masih tinggi berikutan hujan berterusan.

Pihak berkuasa menasihatkan penduduk di kawasan rendah agar berwaspada dan bersedia sekiranya gelombang banjir berulang.

Leave a Reply