KUALA LUMPUR – Malaysia kini melangkah setapak ke hadapan dalam transformasi digital menerusi pelancaran Sistem Alamat Nasional (NAS), satu inisiatif penting yang dirasmikan oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil sempena Persidangan Alamat Nasional 2025 pada 17 Julai di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur.
Persidangan anjuran Kementerian Komunikasi bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ini menjadi platform utama membincangkan pelaksanaan NAS dan peranannya dalam menyelaraskan pengurusan alamat di seluruh negara secara bersepadu dan berpandukan piawaian.
Berlangsung selama dua hari bermula 16 Julai, program ini menghimpunkan lebih 500 peserta dari pelbagai sektor termasuk kerajaan, industri, akademik dan masyarakat awam, serta penyertaan pakar antarabangsa dari Australia dan United Kingdom yang berkongsi pengalaman mereka membangunkan sistem pengalamatan nasional.
Dalam ucapan pelancaran, Datuk Fahmi menegaskan bahawa ketiadaan pangkalan data alamat yang bersepadu ketika ini memberi kesan ketara terhadap kecekapan perkhidmatan awam, keberkesanan tindak balas kecemasan dan kelancaran sektor perniagaan digital seperti logistik serta e-dagang.
Malaysia memiliki lebih daripada 12 juta alamat, namun tiada satu pun entiti yang memegang data menyeluruh yang seragam dan sahih. Justeru itu, NAS dibangunkan sebagai sistem tunggal yang akan menyatukan maklumat alamat dalam satu rangka kerja nasional, berpandukan piawaian MS2039 yang dikeluarkan oleh Jabatan Standard Malaysia.
Setiap alamat yang dikumpulkan akan digeokod dan diberikan pengecam lokasi yang unik, membolehkan capaian kepada maklumat yang tepat serta boleh diintegrasikan dengan sistem pintar lain dalam sektor perbandaran, keselamatan dan ekonomi.
NAS mendapat kelulusan dasar pada Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital dan Industri Revolusi Keempat (MED4IRN) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 24 Jun 2024 dan turut diangkat sebagai salah satu pemacu utama (needle mover) dalam Dasar 4IR Negara.

Datuk Fahmi turut mengumumkan bahawa fasa awal pelaksanaan NAS akan dimulakan melalui Pelan Anjakan NAS yang merangkumi projek perintis di beberapa lokasi strategik. Pelaksanaan ini akan menguji keberkesanan model NAS dari sudut tadbir urus, integrasi data dan pelaksanaan teknikal agensi.
Beliau turut menekankan bahawa kejayaan NAS bergantung kepada kerjasama erat antara pelbagai agensi termasuk pihak berkuasa tempatan, syarikat utiliti, sektor logistik serta penglibatan aktif rakyat Malaysia secara amnya.
“Pelaksanaan sistem ini memerlukan pendekatan berbeza mengikut ciri landskap seperti kawasan FELDA, rumah panjang, rumah atas air dan kawasan bandar. Tiada satu model tunggal sesuai untuk semua,” jelas Datuk Fahmi.
NAS turut dirangka untuk memberi kesan langsung kepada rakyat. Dalam kes kecemasan seperti banjir atau kebakaran, penyelamat boleh mengenal pasti lokasi mangsa dengan lebih pantas, seterusnya meningkatkan peluang menyelamatkan nyawa.
Bukan itu sahaja, penggunaan NAS akan mengurangkan kesilapan dalam penghantaran bungkusan, mempercepatkan operasi logistik dan memperkukuh daya saing syarikat dalam pasaran digital.
Kajian awal pelaksanaan NAS menunjukkan potensi limpahan ekonomi bernilai RM2 bilion dalam tempoh lima tahun serta peluang pekerjaan baharu melebihi 2,000 dalam pelbagai bidang yang berasaskan data lokasi.
Bagi masyarakat umum, pelaksanaan NAS disambut baik sebagai satu kemajuan penting dalam kehidupan seharian mereka.
“Banyak kali saya terpaksa ambil masa tambahan mencari rumah pelanggan kerana alamat tak lengkap atau tidak tepat. Kalau semua lokasi dah ada sistem geokod, kerja akan jadi lebih mudah dan penghantaran lebih lancar,” kata Muhammad Irfan Alias, 27, penghantar kurier dari Selangor.

Seorang pensyarah, Nurul Izzati Mohd Zaki, 33, pula menyatakan bahawa NAS akan membuka peluang besar kepada penyelidikan dan pengumpulan data. “Sebagai ahli akademik, kami perlukan maklumat yang tepat. Selama ini banyak data alamat tidak boleh digunakan kerana bercelaru dan tidak piawai.”
“NAS ini sangat penting untuk urusan kecemasan. Kadang-kadang ambulans susah cari rumah kami sebab tiada sistem lokasi yang betul. Harap selepas ini lebih mudah dan cepat,” ujar Noraini Musa, 51, penduduk kawasan perumahan di Cheras.
Bagi pekerja sektor logistik, Mohd Hafiz Ramlan, 42, beliau melihat NAS sebagai penyelesaian kepada banyak isu penghantaran. “Syarikat saya rugi banyak sebab penghantaran gagal. NAS ini boleh bantu selesaikan masalah.”
Sementara itu, Siti Balkis Hassan, 30, pegawai teknologi maklumat, menyatakan, “Kalau semua agensi kerajaan guna NAS, banyak proses boleh jadi lebih efisien. Urusan permohonan, semakan, semua boleh jadi lebih cepat dan tersusun.”
Manakala Leong Tze Wei, 39, dari sektor teknologi, menekankan potensi integrasi NAS dengan teknologi kecerdasan buatan (AI). “Sistem ini akan melengkapkan rangkaian data geolokasi dan membantu pembangunan produk baharu yang lebih pintar.”
Persidangan dua hari ini turut menampilkan pameran interaktif dan sesi jaringan strategik antara agensi, menyatukan pemikiran semua pihak ke arah pelaksanaan NAS secara holistik.
Menteri Komunikasi menegaskan bahawa NAS bukan sekadar projek berasaskan teknologi, tetapi menjadi asas kepada penyampaian perkhidmatan awam yang lebih baik dan pengukuhan ekonomi digital negara secara keseluruhan.
Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, beliau merasmikan Persidangan Alamat Nasional 2025 dan menyeru agar semua pihak menjadikan sidang ini sebagai titik tolak ke arah pembinaan sistem pengalamatan nasional yang canggih, bersepadu dan menjangkau masa depan negara pintar.