PUTRAJAYA – Jepun dan Malaysia menegaskan semula komitmen mereka untuk memperkukuh kerjasama dan memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan daya tahan rantaian bekalan, selaras dengan kerangka Madani Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memberi keutamaan kepada kelestarian, inovasi dan kemakmuran.
Perdana Menteri Jepun, Shigeru Ishiba, dalam lawatan rasminya di sini, menyifatkan persetujuan tersebut sebagai langkah penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi dan kestabilan rantau ini.
Beliau menegaskan bahawa kedudukan strategik Malaysia di persimpangan lautan Hindi dan Pasifik menekankan kepentingannya sebagai hab serantau.
“Malaysia ialah rakan strategik menyeluruh yang berkongsi nilai-nilai dan prinsip-prinsip asas dengan Jepun.
“Melalui inisiatif seperti pandangan Asean terhadap Indo-Pasifik dan realisasi Indo-Pasifik yang bebas serta terbuka, Jepun berhasrat untuk bekerjasama rapat dengan Malaysia, selaku Pengerusi Asean tahun ini, untuk memimpin dunia ke arah kerjasama,” kata Ishiba pada sidang media bersama Anwar selepas mesyuarat dua hala mereka, hari ini.

Menandakan kepulangannya ke Malaysia selepas 34 tahun, Ishiba memuji perkembangan pesat negara ini dan kepimpinan Anwar di peringkat global.
“Dalam pelbagai persidangan antarabangsa, saya amat kagum dengan ucapan Perdana Menteri Anwar yang bersemangat dan ikhlas. Kali ini, saya berpeluang besar untuk berbincang dengan lebih mendalam bersama beliau,” katanya.
Terdahulu, kedua-dua pemimpin turut bersetuju untuk mengukuhkan kerjasama dalam bidang pendidikan, bagi meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik menyeluruh. Ini melengkapkan usaha sedia ada untuk mempertingkat kerjasama dalam perdagangan, pelaburan dan tenaga bersih.
Jepun merupakan pelabur asing keempat terbesar di sektor pembuatan Malaysia dan rakan dagang keempat terbesar Malaysia, dengan jumlah dagangan bernilai RM156.75 bilion (AS$34.41 bilion) pada tahun 2023.