KUALA LUMPUR – Malaysia dan Indonesia kekal komited dalam memastikan kerjasama berterusan antara gergasi minyak kedua-dua negara, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan PT Pertamina (Persero).

“Komitmen kita ialah untuk memastikan kerjasama Petronas dan Pertamina, dua gergasi serantau terkemuka, supaya mereka mempunyai lebih banyak perjanjian untuk diterokai, mengalu-alukan hala tuju baharu serta bidang perniagaan baharu,” kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar bersama Presiden Indonesia Prabowo Subianto sempena lawatan negara pertama presiden itu ke Malaysia.

Terdahulu, Anwar dan Prabowo menyaksikan pemeteraian dua surat hasrat (LOI) antara Axiata Group Bhd dan Sinar Mas yang berpangkalan di Indonesia bagi meneroka dan memajukan beberapa kerjasama strategik.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sempena Lawatan Negara ke Malaysia di KLCC, Kuala Lumpur pada 27 Januari 2025.

Axiata dan Sinar Mas dalam kenyataan bersama hari ini memaklumkan bahawa LOI pertama menyediakan asas kukuh untuk meneruskan perbincangan terperinci yang merangkumi projek serta inisiatif khusus bagi memacu kerjasama lanjut dalam mengenal pasti sinergi di Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara.

“Dengan memanfaatkan ekosistem telekomunikasi masing-masing, kami berhasrat meneroka peluang untuk membuka lebih banyak nilai kepada para pemegang kepentingan dalam beberapa bidang berimpak tinggi, termasuk penyelesaian 5G maju, perkhidmatan perusahaan (enterprise), infrastruktur digital dan inovasi fintech.

“Akhirnya, kemajuan berpotensi ini akan menyokong inisiatif transformasi digital di seluruh rantau ini,” menurut kenyataan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Group, Vivek Sood, berkata LOI tersebut merupakan langkah penting dalam memajukan kerjasama serantau bagi membentuk gelombang seterusnya transformasi digital di Asia Tenggara serta memperkasa perkhidmatan dalam bidang berpotensi pertumbuhan tinggi.

“Dengan mendalami dan meneguhkan perkongsian berterusan bersama Sinar Mas, kami berhasrat memanfaatkan potensi transformasi 5G, penyelesaian perusahaan dan infrastruktur digital bagi memacu pertumbuhan ekonomi mampan serta merapatkan jurang digital di Malaysia, Indonesia dan seterusnya,” katanya.

LOI kedua yang ditandatangani mengesahkan semula pelbagai komitmen Axiata dan Sinar Mas seperti yang dinyatakan dalam Perjanjian Definitif yang diumumkan bersama pada 11 Disember 2024 untuk meneruskan cadangan penggabungan PT XL Axiata Tbk, PT Smartfren Telecom Tbk, dan PT Smart Telcom bagi membentuk PT XLSmart Telecom Sejahtera Tbk di Indonesia.

“LOI ini mengesahkan hasrat bersama kami dalam transaksi bersejarah ini, yang akan memberikan XLSmart nilai perusahaan pra-sinergi melebihi 104 trilion rupiah (RM28 bilion), melambangkan visi kolektif yang kukuh untuk memupuk inovasi, meningkatkan kualiti perkhidmatan pelanggan dan menambah baik keterhubungan digital di Indonesia, sambil menyumbang kepada pasaran yang lebih sihat dan kompetitif.

“LOI ini turut menegaskan keinginan kedua-dua pihak untuk, antara lain, bekerjasama secara baik bagi memenuhi syarat-syarat yang dipersetujui seperti yang digariskan dalam Perjanjian Definitif, seterusnya memastikan kelancaran proses transaksi tersebut,” menurut kenyataan berkenaan.

Leave a Reply