KUALA LUMPUR – Pelaksanaan prinsip demokrasi dalam pentadbiran negara kini memasuki fasa yang lebih progresif apabila himpunan anjuran pembangkang yang berlangsung baru-baru ini di ibu negara berjalan tanpa sebarang halangan atau tindakan keras.

Ketiadaan gangguan daripada pihak berkuasa terhadap peserta himpunan itu telah menandakan satu transformasi besar dalam cara Malaysia mengurus perbezaan pandangan.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Adam Adli, dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa keterbukaan ini tidak berlaku secara tiba-tiba, sebaliknya ia adalah hasil daripada dasar pentadbiran yang menjunjung nilai Madani.

“Malaysia pernah melalui zaman di mana suara dibungkam, perhimpunan dibedil, dan perbezaan pendapat dijenayahkan,” katanya.

Menurut beliau, pendekatan semasa yang membenarkan orang ramai menyuarakan pendapat tanpa halangan fizikal mahupun ugutan merupakan kemajuan yang ketara dalam sistem politik negara.

“Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan.”

“Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar.”

Adam berkata pendekatan yang diambil oleh kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah bukti bahawa kebebasan sivil kini menjadi sebahagian daripada realiti politik Malaysia.

“Kerajaan Madani telah menzahirkan ruang demokrasi yang bukan hanya dilaungkan, tetapi benar-benar dirasai.”

“Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi.”

Beliau turut menyatakan bahawa anggota keselamatan memainkan peranan besar dalam menjayakan suasana aman sepanjang himpunan tersebut berlangsung.

“Dalam suasana baharu ini, Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim turut menzahirkan penghargaan kepada anggota keselamatan di lapangan.”

“Kehadiran mereka tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi kita; mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara.”

Menurut Adam, pencapaian ini bukan sekadar simbolik, tetapi menandakan komitmen berterusan kerajaan dalam mempertahankan kebebasan rakyat.

Beliau turut mengingatkan bahawa kerajaan Madani bukan hanya menekankan kebebasan politik semata-mata, malah serius dalam memenuhi keperluan asas rakyat.

“Cita-cita Madani bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga hak kehidupan rakyat.”

“Usaha kerajaan dalam isu kos sara hidup, pembasmian kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan, dan pekerjaan adalah bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.”

Beliau berkata perkembangan ini turut memberi kesan positif kepada imej Malaysia di peringkat antarabangsa yang kini semakin dipandang tinggi oleh komuniti global.

“Di pentas dunia, kepemimpinan Perdana Menteri dan kerajaan mulai berhasil mengangkat semula imej Malaysia sebagai sebuah kuasa ekonomi yang stabil dan diyakini negara luar pasca pandemik.”

“Peranan kita kembali diiktiraf, suara kita kembali didengari.”

Dalam masa yang sama, Adam menyatakan bahawa pembangkang kelihatan tidak senang dengan kemajuan yang sedang dicapai kerajaan.

“Ini mungkin meresahkan pembangkang.”

“Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang ketandusan hala tuju.”

“Lantas, strateginya dialihkan kepada mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi – tidak dengan dasar alternatif yang lebih baik, hanya serangan ke atas personaliti.”

Beliau berkata tindakan pembangkang lebih menjurus kepada manipulasi emosi dan persepsi awam berbanding mencetuskan perbahasan dasar yang konstruktif.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa KEADILAN tidak melihat perhimpunan tersebut sebagai satu bentuk ancaman terhadap kestabilan negara.

“KEADILAN melihat himpunan ini bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.”

Adam berkata, demokrasi tidak akan bermakna tanpa perbezaan pandangan dan pendapat yang dirai secara adil.

“Perbezaan pandangan harus diraikan.”

“Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang; kedua-duanya penting dan wajar dilindungi.”

Katanya, pentadbiran kerajaan telah berjaya memperlihatkan satu bentuk kepimpinan yang tidak gentar menghadapi suara berbeza.

“Kerajaan telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi.”

“Persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama?”

“Mahukah pembangkang mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?”

Beliau menyeru agar semua pihak memahami bahawa demokrasi yang sebenar hanya akan terhasil apabila semua pemain politik bertanggungjawab dalam memelihara etika dan integriti politik.

Adam mengakhiri kenyataan beliau dengan menegaskan bahawa seluruh rakyat Malaysia kini sedang memainkan peranan penting dalam mencorakkan masa depan negara.

“Hari ini, sama ada yang berhimpun di ibu kota, yang memerhati di ceruk desa, atau yang menentang di ruang maya; kita semua telah mencorak suatu peristiwa penting.”

“Kita sedang membina sebuah negara yang lebih terbuka, matang, dan adil.”

Beliau berkata inilah wajah sebenar Malaysia baharu – negara yang memberi ruang kepada rakyatnya untuk bersuara tanpa takut, dan sebuah kerajaan yang bersedia menerima suara rakyat dengan rendah hati.

“Inilah semangat Madani; ruang untuk rakyat bersuara tanpa takut, dan kerajaan yang bersedia mendengar tanpa angkuh.”

Himpunan aman itu telah membuktikan bahawa Malaysia kini berada di landasan yang betul untuk membina demokrasi yang lebih inklusif, bebas, dan bertamadun.

Leave a Reply