DAVOS, SWITZERLAND – Usaha Malaysia dalam pembasmian kemiskinan melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila penerima Anugerah Nobel, Prof. Muhammad Yunus memuji kejayaan program tersebut semasa Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Davos, Switzerland.

Prof. Yunus, pengasas Bank Grameen yang terkenal dengan model pembiayaan mikro-kredit, menyifatkan Malaysia sebagai contoh kejayaan dalam mengadaptasi model Bank Grameen untuk membasmi kemiskinan.
AIM yang ditubuhkan hasil kajian Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 1987, ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memegang jawatan Menteri Pendidikan, telah membuktikan keberkesanannya dalam mengangkat taraf hidup golongan berpendapatan rendah.
“Program pembiayaan mikro-kredit berserta bimbingan mingguan yang dilaksanakan AIM telah berjaya mengubah landskap sosioekonomi golongan sasar,” kata jurucakap AIM kepada pemberita.
Sejarah pembelaan golongan miskin oleh Perdana Menteri dapat disorot sejak tahun 1974, ketika beliau sebagai pemimpin mahasiswa turun padang ke Baling membela nasib pekebun kecil getah.
Komitmen ini diteruskan semasa beliau menjawat jawatan Menteri Pertanian pada tahun 1985 dengan pelancaran program Pasar Tani yang bertujuan menghapuskan monopoli orang tengah.

Menerusi buku “Membangun Negara Madani” yang diterbitkan pada tahun 2022, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menegaskan kepentingan konsep IHSAN dalam pentadbiran negara. “Perasaan Ihsan itu adalah soal menyelami penderitaan dan kemelaratan orang lain, lalu berusaha untuk mencari jalan bagi mengubatinya,” tulis beliau.
Sebagai Perdana Menteri, beliau kini giat memerangi kartel dan menyusun semula ekonomi negara melalui kerangka MADANI. Kerangka ini merupakan hasil pengalaman beliau selama empat dekad dalam perkhidmatan awam dan penelitian mendalam tentang hala tuju negara.
Pengiktirafan antarabangsa ini dilihat sebagai pemangkin kepada usaha berterusan kerajaan dalam memastikan kesejahteraan rakyat, terutamanya golongan yang memerlukan, terus terpelihara.

Sementara itu, dalam satu kenyataan media AIM memberitahu, sehingga kini lebih 500,000 keluarga telah mendapat manfaat daripada program pembiayaan mikro AIM yang turut menyediakan latihan keusahawanan dan bimbingan berterusan.
“Kadar kejayaan program ini melebihi 95 peratus, dengan sebahagian besar peserta berjaya meningkatkan pendapatan bulanan mereka sekurang-kurangnya 50 peratus dalam tempoh dua tahun,” jelas AIM.