KUALA LUMPUR – Global Peace Mission (GPM) Malaysia menzahirkan sokongan sepenuhnya terhadap langkah Kerajaan Malaysia dalam mempercepatkan agenda pembangunan semula Gaza, Palestin.
Usaha ini diketengahkan menerusi kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang kini berganding bahu dengan Jepun bagi menubuhkan dana pembangunan melalui inisiatif Asia Timur.
Dana tersebut akan memfokuskan pembinaan semula prasarana kritikal seperti sekolah, hospital dan masjid.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif GPM, Syahrir Azfar Saleh, kempen #KempenPulihkanGaza yang dilancarkan pada 16 Januari lalu akan terus menjadi instrumen penting untuk menyalurkan bantuan dan sokongan.
Kempen itu merangkumi usaha membaik pulih kediaman yang rosak, membina semula Sekolah Tahfiz Siraj Al-Munir, melaksanakan program anak angkat untuk anak yatim di Gaza, selain projek ekonomi seperti pembinaan Ladang Ternakan Ayam Moden dan Kilang Roti.
Bantuan kecemasan seperti khemah, makanan asasi, bekalan air bersih dan kit kebersihan juga akan terus diagihkan.
GPM menegaskan, pemulihan Gaza bukan sekadar mengembalikan infrastruktur fizikal, malah memulihkan semangat dan keyakinan rakyat Palestin.
Sehubungan itu, GPM mengalu-alukan penglibatan semua pihak, termasuk individu perseorangan dan organisasi masyarakat sivil, untuk bekerjasama menjayakan inisiatif ini.
Sementara itu, Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid, ketika dihubungi pemberita menyatakan, “MAPIM turut menyokong penuh usaha kerajaan Malaysia dan GPM dalam memperkukuh kerjasama bagi membantu masyarakat Palestin. Ini menunjukkan solidariti antarabangsa yang penting demi membina kehidupan baharu di Gaza.”
Maklumat lanjut mengenai program dan sumbangan boleh didapati di laman sesawang rasmi GPM atau menerusi:
E-mel: pr@gpm.com.my | Tel: (+60)19 241 1987 / (+60)3 4144 3441
Alamat: 33-1, Jalan 2a/27a, Seksyen 1, 53300 Wangsa Maju, Kuala Lumpur
Sumbangan: www.pedulipalestin.com