PUTRAJAYA – Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru semua pihak agar tidak mempersoalkan penyertaan aktivis Malaysia dalam misi kemanusiaan ke Palestin, termasuk tidak membantah lawatan Presiden AS Donald Trump yang dijadualkan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN pada akhir bulan ini.

Menurut beliau, ketika komuniti antarabangsa sedang berusaha mencari titik damai di Gaza, rakyat Malaysia seharusnya memilih untuk berdoa agar usaha itu membuahkan hasil, bukannya menghidupkan pertikaian politik yang memecah-belahkan.

“Ketika ini dunia — termasuk Mesir, Qatar dan Hamas — menumpukan perhatian kepada kejayaan proses perdamaian,” katanya.

“Malaysia juga wajar selari dengan haluan itu, dan berdoa agar rundingan tersebut berhasil,” ujar beliau.

“Jangan pula lawatan itu (Trump) ditentang, kerana kita memohon kerjasama semua negara, termasuk Trump sendiri, untuk memastikan perjanjian ini ditandatangani dan dilaksanakan,” katanya kepada media selepas solat di sini pada Jumaat.

Anwar menjelaskan bahawa apabila Hamas memperlihatkan komitmen terhadap perdamaian, tidak elok bagi mana-mana pihak di negara ini menimbulkan perbalahan.

“Nyawa melayang, tanah dirampas, anak kecil dan wanita terkorban … perkara ini yang mahu kita hentikan terlebih dahulu,” tegasnya.

Beliau turut merakamkan terima kasih kepada para sukarelawan Malaysia yang menyertai pelbagai flotila bantuan ke Gaza, menyifatkan mereka sebagai berani dan berjiwa besar.

“Bukan semua orang mampu mempertaruhkan keselamatan diri untuk rakyat Gaza … kepada mereka yang membantu, kita ucapkan terima kasih dan mendoakan kesejahteraan mereka,” katanya.

“Itulah sikap yang patut ada pada umat Islam dan seluruh rakyat Malaysia,” tambah Perdana Menteri.

Anwar memaklumkan bahawa urusan membawa pulang sembilan rakyat Malaysia yang ditahan oleh Israel pada Rabu sedang diselaraskan dengan bantuan Presiden Türkiye, Recep Tayyip Erdogan.

“Kita berdoa … Insya-Allah, mereka selamat tiba di Istanbul … dan saya akan memaklumkan (perkembangan seterusnya) ketika pembentangan Belanjawan 2026 nanti,” katanya.

Leave a Reply