CYBERJAYA – Kementerian Komunikasi hari ini melancarkan sebuah chatbot semakan fakta bagi mengesahkan kesahihan mesej dan maklumat di WhatsApp, umum Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.

Chatbot yang dinamakan Artificial Intelligence Fact-Check Assistant (AIFA) ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerajaan untuk membendung penularan maklumat palsu dan meningkatkan literasi digital dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Pelancaran hari ini menandakan satu lagi pencapaian penting dengan memperkenalkan aplikasi chatbot di platform WhatsApp.

“Ia berdasarkan hakikat bahawa WhatsApp digunakan secara meluas di semua lapisan masyarakat, dan mesej kerap dikongsi tanpa pengesahan,” jelas Fahmi ketika berucap dalam majlis pelancaran Chatbot Sebenarnya.my di sini, hari ini.

Menurut beliau, chatbot AIFA membolehkan pengguna menyerahkan mesej yang meragukan untuk disahkan kesahihannya.

Buat masa ini, AIFA memberi tumpuan kepada teks, namun dijangka dapat mengendalikan imej dan video pada masa terdekat.

Fahmi turut memaklumkan bahawa AIFA menyokong pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Inggeris, Mandarin dan Tamil.

Pada masa sama, pihak kementerian juga merancang untuk menambah ciri-ciri baharu bagi membolehkan verifikasi kandungan multimedia pada masa depan.

Beliau turut berkongsi statistik daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) yang menunjukkan sebanyak 20,000 kandungan berita palsu dikesan tahun lalu.

Daripada jumlah itu, 17,245 telah dikeluarkan daripada platform media sosial selepas disahkan tidak benar.

Setakat 27 Januari 2025, sebanyak 1,575 kandungan palsu dikenal pasti, dan 1,233 daripadanya berjaya diturunkan.

“MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan platform media sosial serta agensi penguatkuasaan untuk membanteras penularan berita palsu. Usaha ini juga akan diperluas ke 1,100 Pusat Komuniti Digital di seluruh negara agar semua rakyat, tanpa mengira latar belakang, dapat memanfaatkan inisiatif ini sepenuhnya,” tambah Fahmi.

Leave a Reply