KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan majlis minum petang khas bagi meraikan lawatan Presiden Indonesia, Prabowo Subianto di Menara Berkembar PETRONAS, mercu tanda ikonik Malaysia.

Majlis yang berlangsung di tingkat 40 Menara 1 itu membolehkan kedua-dua pemimpin berbual secara santai sambil menikmati pemandangan Kuala Lumpur dari perspektif yang menakjubkan.

Selain delegasi dari Indonesia, majlis tersebut turut disertai oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail serta Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Turut hadir ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, serta Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad, di samping pegawai kerajaan kanan serta wakil sektor korporat dari kedua-dua negara.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ketika pertemuan bersama Presiden Indonesia, Prabowo Subianto sempena Lawatan Negara ke Malaysia di KLCC, Kuala Lumpur pada 27 Januari 2025.

Sebelum itu, Anwar dan Prabowo telah mengadakan perbincangan dua hala mengenai isu-isu strategik yang melibatkan kepentingan bersama di peringkat serantau dan antarabangsa.

Beberapa agenda utama yang dibincangkan termasuk kerjasama dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertahanan, peningkatan keupayaan sumber manusia, hubungan antara kedua-dua negara, serta peranan dalam ASEAN.

Sebagai rakan serantau yang erat dan anggota pengasas ASEAN, lawatan ini membuktikan tekad kedua-dua negara untuk memperkukuhkan hubungan diplomatik demi manfaat bersama serta kestabilan rantau ini.

Malaysia dan Indonesia menikmati hubungan perdagangan yang dinamik, dengan jumlah dagangan dua hala antara Januari hingga November tahun lalu mencecah RM106.06 bilion (USD23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (USD22.41 bilion) pada tahun sebelumnya.

Sepanjang 2023, Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia secara global dan ketiga terbesar dalam ASEAN dengan jumlah perdagangan mencecah RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).

Leave a Reply