PUTRAJAYA – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Kiosk Sentuhan MADANI yang pertama di pusat beli-belah Alamanda, yang merupakan inisiatif terkini kerajaan bagi memudahkan akses orang ramai kepada perkhidmatan kerajaan.

Lebih daripada 90 perkhidmatan ditawarkan menerusi enam kiosk digital yang disediakan di pusat beli-belah berkenaan, termasuk perkhidmatan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Pos Malaysia, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), serta MyDigital ID.

YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Peluncuran Kiosk Sentuhan Madani di Alamanda, Putrajaya pada 9 Januari 2025.

Turut hadir, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali serta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Kiosk Sentuhan MADANI ini ialah inisiatif di bawah Belanjawan 2025 yang dicetuskan oleh Anwar, bertujuan mempertingkatkan perkhidmatan awam dan memenuhi keperluan semasa rakyat.

Melalui kiosk digital daripada pelbagai agensi yang ditempatkan di kawasan tumpuan seperti pusat beli-belah, waktu operasi yang dilanjutkan dapat memudahkan urusan rakyat.

Sementara itu, Fahmi menyeru entiti korporat untuk menyokong inisiatif ini dengan menyediakan tapak bagi memasang kiosk tersebut di premis masing-masing.

“Saya dimaklumkan kos (pemasangan) tidak terlalu tinggi dengan kerjasama pelbagai pihak. Kami percaya lokasi seperti pusat beli-belah dan kawasan tumpuan lain memang sesuai untuk pemasangan,” katanya kepada pemberita.

Menurut Fahmi, Kiosk Sentuhan MADANI kedua akan ditempatkan di KL Sentral pada akhir Februari nanti.

Leave a Reply